5 Jun 2025
Feet4Life: 90 Pesakit Amputasi Kembali Melangkah dengan Bantuan Yayasan UNITI

[Sumbangan Etiqa Family Takaful & Maybank Islamic]
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sebuah langkah kecil mampu membawa perubahan besar. Itulah yang direalisasikan melalui Kempen Feet4Life, sebuah inisiatif kemanusiaan anjuran Yayasan UNITI yang sekali lagi menyentuh hati masyarakat apabila berjaya menyumbangkan bantuan bernilai RM451,937.66 dalam Majlis Penyerahan Sumbangan yang berlangsung hari ini di Menara Arina UNITI. Majlis ini telah menyaksikan lebih 90 pesakit amputasi dari seluruh negara menerima kaki palsu secara percuma, membolehkan mereka kembali melangkah – secara fizikal dan simbolik – ke arah kehidupan yang lebih berdikari dan bermaruah. Dilancarkan sejak tahun 2022, Kempen Feet4Life telah menjadi platform strategik bagi menyantuni golongan asnaf dan keluarga B40 yang mengalami kehilangan anggota kaki akibat penyakit atau kemalangan. Sehingga kini, lebih 350 penerima manfaat telah dibantu melalui kempen ini. Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UNITI, Dr. Syed Omar Syed Agil menekankan bahawa kempen ini bukan hanya tentang memberi kaki palsu, tetapi tentang mengembalikan harga diri, semangat, dan harapan kepada mereka yang selama ini terpaksa bergelut untuk menjalani kehidupan seharian.










